JDT awal-awal lagi sudah melangkah ke suku akhir Piala Malaysia 2015 dan memburu rekod kemenangan bersih 6 - 0 - 0 dengan maksimum 18 mata. Sementara, Sarawak masih lagi berhempas pulas merebut tempat ke suku akhir, mengharapkan sedikit tuah, Perak mengekang ATM dengan seri atau kalah dengan jaringan yang kecil.
Sarawak harus menyalahkan diri sendiri, ketika bertemu ATM tempoh hari. Dua kali mendahului lawan, dan akhirnya terpaksa akur sekadar seri 2-2. Dari segi peluang, ternyata ATM memiliki sedikit kelebihan. Hanya perlu menang dengan dua gol sambil mengharapkan Sarawak tumbang di Larkin.
Di atas kertas, keupayaan kedua-dua pasukan nyata berbeza. Baik dari taktikal atau gameplay, JDT boleh dianggap pasukan terbaik negara dengan serba lengkap di semua posisi. Sementara Sarawak, sehingga ke saat ini masih lagi terkial-kial mencari prestasi terbaik seperti yang ditunjukkan ketika dibimbing oleh Fuad. Dari tiga pertemuan termasuk Liga Super 2015, JDT menang ketiga-tiga pertemuan dengan rekod 2-1, 2-0 dan 3-0.
Sememangnya di akui, menang atau seri di Larkin adalah satu perkara yang mustahil. Tapi adakah itu dijadikan alasan Sarawak mengharapkan 'belas kasihan' dari JDT ? Bagi pasukan yang ditadbir secara profesional dan kali pertama beraksi di laman sendiri sebagai juara Piala AFC 2015 di tempat sendiri, kita harus sedar JDT tidak akan memberi laluan mudah kepada Sarawak, kerana harus menjaga 'air muka' mereka sendiri. Walaupun , Mario Gomez membayangkan JDT akan merehatkan sebahagian pemain utama, pemain pengganti mereka bukanlah calang-calang pemain.
Untuk itu, Sarawak harus kembali ke alam realiti, berjuang sebagai satu unit di padang dan bermain habis-habisan untuk mencari kemenangan. Walaupun, tanpa pemain berpengaruh, Joseph Jalang Tie di padang, kita percaya pemain lain seperti Ronny, Hairol dan Shahrol berkeupayaan membangkitkan semangat juang pemain.
Tidak ada perkara mustahil atau kalah bulu, jika pemain menunjukkan
komitmen 110 %, menggerakkan kudrat semaksimum mungkin dan menggunakan
segala peluang yang ada. Tidak mustahil kejutan mampu dicipta.
Inilah yang ada pada darah pahlawan sebenar, bukannya menyembah di kaki lawan memohon simpati! Agi Idup Agi Ngelaban !!!
Artikel/Gambar: Sarawak Football
Official FB: https://www.facebook.com/swkfootball/timeline
No comments:
Post a Comment