Dua kesilapan pertahanan Sarawak menjadi garis pemisah yang akhirnya memuktamadkan Selangor selaku pemenang suku akhir pertama Piala Malaysia 2015 dengan keputusan 2-1.
Seperti dijangka dalam analisis pertemuan, Selangor memulakan aksi dengan agresif untuk mencari gol awal. Rangkaian Nazmi-Andik berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan Sarawak dengan larian pantas termasuk beberapa percubaan bahaya oleh Guilherme De Paula. Bertukar-tukar hantaran dan posisi, pertahanan Sarawak terpaksa berkerja keras mengekang asakan pemain-pemain Selangor. Beberapa percubaan leret dilihat sebagai cubaan awal menguji kemampuan Iqbal.
Ketiadaan Ivan Fatic, Joseph Kalang dan kegagalan Ryan berfungsi menyebabkan Shahrol Saperi terpaksa berkerja keras di bahagian tengah. Billy Mehmet yang sering dibayangi oleh Robert Cornwhaite terpaksa turun ke bawah untuk membantu Shahrol dan meninggalkan ruang kosong di atas.
Sarawak kemudiannya berjaya mengurangkan dominasi lawan menerusi gerakan Ashri dan Partiban di sebelah sayap. Kurang sokongan dari pemain-pemain lain, beberapa hantaran dan gerakan tidak membuahkan sebarang hasil. Ashri dan Patrick, masing-masing terlepas peluang keemasan untuk membuka tirai jaringan apabila percubaan mereka samada di selamatkan oleh penjaga gol atau pertahanan Selangor.
Dalam kelekaaan mengatur serangan, pada minit ke - 36 Ryan Griffith melakukan kesilapan besar. Dari tengah padang, Andik berjaya merampas bola dari kaki Ryan, melepasi Ronny Harun sebelum melorongkan bola kepada Hazwan Bakri. Walaupun, cuba dihalang oleh Dzulazlan dan Hairol, Hazwan mudah memperdayakan Iqbal dengan rembatan leret ke sebelah kiri gawang Sarawak.
Tersentak dengan gol Selangor, Sarawak cuba kembali bangkit namun perlawanan kekal dengan kedudukan Selangor mendahului 1-0 di separuh masa pertama.
Di separuh masa kedua, Sarawak membuat pertukaran strategi dengan meletakkan Partiban di sebelah kiri dan Ashri bermain di kanan. Akhirnya membuahkan hasil apabila hantaran lintang oleh Partiban berjaya disudahkan dengan cantik oleh Billy pada minit ke 59.
Jaringan ini ternyata berjaya membangkitkan kembali semangat pemain-pemain Sarawak. Beberapa serangan merbahaya diketuai oleh Billy hampir-hampir menemui sasaran, tetapi Norzalan lebih bersedia di pintu gol Selangor.
Ketika pemain Sarawak mula kelihatan letih, tidak ada tanda-tanda David Usop membuat pertukaran pemain walaupun pada jangkaan awalnya Ivan Fatic dan Varathan akan dimasukkan untuk menguatkan barisan pertahanan. Akhirnya, dengan perlawanan yang berbaki beberapa minit, kesilapan pertahanan Sarawak sekali lagi dihukum oleh gol kedua menerusi Afiq. Empat minit masa tambahan dan kemasukan lewat Ivan Fatic gagal membantu mengubah nasib Sarawak dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat permainan.
Selangor dan Sarawak akan bertemu sekali lagi di suku akhir kedua pada 28 Nov 2015 di Shah Alam.
No comments:
Post a Comment